
KITA selalu diingatkan mengenai tata cara sebagai pelancong dan pengembara yang peka terhadap persekitaran. Baik dari aspek menyertai amalan polisi hijau hinggalah kepada menghormati adab dan budaya di destinasi yang dilawati.
Dalam sibuk menyahut seruan pelancongan bertanggungjawab yang menjelaskan dasar antara seseorang pelancong dengan elemen di sekitarnya, adakah mereka bertanggungjawab terhadap kepentingan dan kebajikan diri sendiri? Jawapannya menjurus kepada satu perkara iaitu kepentingan memiliki insurans perjalanan. Sebenarnya, tidak ramai golongan pelibur menyedari tentang impak dan kemungkinan buruk ketika mereka melancong, khususnya di negara asing.
Di sebalik perancangan teliti, pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku tanpa dijangka. Pernahkah kita terfikir tentang apa akan berlaku jika barangan dan dokumen penting yang menentukan kelancaran perjalanan didapati hilang, tidak mencukupi, rosak ataupun disalah urus pihak tertentu? Pasti kelam-kabut jadinya kalau pemilikan pasport, kad pengenalan diri, cek pengembara, wang tunai, tiket perjalanan serta kelengkapan persalinan yang disimpan dalam bagasi menerima nasib buruk sebegitu.
“Itu belum lagi bercakap tentang kemungkinan seseorang boleh jatuh sakit di negara asing dan perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. “Apa yang mereka boleh lakukan jika ketika menghadapi situasi getir itu, wang belanja tidak cukup ataupun hilang akibat kecuaian sendiri mahupun perbuatan khianat?” Menurut Nur Jehan, mereka perlu sedar bahawa kos rawatan di kebanyakan negara asing adalah jauh lebih tinggi.
Dalam situasi sedemikian, pemilik insurans perjalanan umpama boleh ‘menyambung nyawa’ lantaran kos rawatan yang tinggi itu diserap dalam perlindungan polisi insurans tersebut.
Malah terdapat polisi yang menanggung kos perjalanan bagi seorang ahli keluarga untuk bertemu dengan orang yang terlantar sakit di negara asing itu.
Sudah ada insurans
Polisi insurans itu juga merangkumi perlindungan terhadap kes kemalangan, kerugian harta benda termasuk komputer bimbit dan kejadian kacau ganggu sepanjang tempoh perjalanan percutian yang telah direncana oleh pembelinya.
Selain itu, terdapat polisi yang menampung perlindungan seperti pemindahan kecemasan, bimbingan perjalanan 24 jam, perlanggaran dan kerosakan kenderaan sewaan dan konflik niaga.
“Terdapat banyak lagi pilihan ditawarkan syarikat insurans tetapi kuasa memilih bergantung kepada kebijaksanaan pertimbangan dan keputusan pembelinya.
“Daripada pelan insurans perjalanan domestik yang semurah RM25 hingga ke pelan insurans bernilai ribuan ringgit bergantung kepada destinasi, semuanya berbaloi untuk dimiliki. “Lazimnya, fungsi insurans tersebut terlanjut sehingga ke tarikh pembelinya kembali ke tanah air.
“Bukan sahaja untuk diri sendiri, pembelian insurans ini juga jelas bermanfaat untuk seluruh ahli keluarga,” ujarnya sambil menambah bahawa golongan yang paling ramai tidak mengendahkan kepentingan insurans tersebut ialah kaum Melayu.
Namun, pasti ada yang bertanya, ‘mengapa perlu membeli insurans perjalanan sedangkan sudah memiliki insurans biasa yang cukup bagus?’ .“Mereka silap. Sebenarnya, mereka beranggapan insurans hayat dan perubatan serta kad kredit mampu menawarkan perlindungan secukupnya, sedangkan insurans perjalanan direka khusus untuk keperluan perjalanan itu sendiri.
“Tanpa membaca klausa dengan teliti, mereka akan dapati insurans umum itu tidak merangkumi perlindungan terhadap keperluan perjalanan itu sendiri seperti keselamatan bagasi, barangan peribadi, ketidaktetapan jadual berangkat dan sebagainya,” kata Nur Jehan.
Tidak ambil peduli
“Baik perjalanan domestik mahupun antarabangsa, masih ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingannya. “Malah saranan ejen pelancongan diketepikan,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Leisure and Incentive Tours Sdn. Bhd., Wan Munirah Wan Puteh. Orang kuat agensi pelancongan itu mengakui bahawa majoriti pelanggan yang hendak mengikuti pakej pelancongan syarikatnya menganggap insurans perjalanan adalah sesuatu yang remeh dan sekadar menambah urusan perbelanjaan awal. Wan Munirah menafikan tanggapan bahawa kebanyakan ejen pelancongan menawarkan pelan yang paling murah dan tidak memulangkan manfaat yang sewajarnya.
Tambahan pula, insurans perjalanan yang dicadangkan adalah yang terbaik memandangkan pihak insurans begitu senang dengan rekod jumlah pembelian berkelompok yang datangnya daripada agensi pelancongan. “Dalam insurans yang diambil secara berkumpulan, harga yang perlu dibayar hanya serendah RM10 seorang. Pelan itu sudahpun meliputi keperluan standard bagi menampung kos kritikal apabila berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. “Syarikat kami banyak mempromosi pelancongan domestik yang melibatkan aktiviti lasak misalnya program bina semangat. “Walaupun telah kami syorkan pembelian insurans ini sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kemalangan, pelanggan tetap menolak tanpa memikirkan bahawa ia adalah untuk kebaikan mereka juga,” ujar Wan Munirah kesal.
Oleh HAMZAH ABDUL HAMID
hamzah.abdulhamid@kosmo.com.my
